kipil

"....Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu...sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan...senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan....segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman..."

Selamat Datang

Random Post

Kata Bijak Pandai

Tanda cerdik seseorang adalah pada ucapannya........

Tanda berani seseorang adalah pada tindakannya........


Tanda bijak seseorang adalah pada keterampilannya........


Tanda mulia seseorang adalah pada keperibadiannya......


-Prof. Dr. Hamka

Label


Saja

Malaysian Super League 2017

Carian

Google
 

Sumber: Pejabat Jabatan Perdana Menteri (web)

Teks Penuh



By

:

DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA

Venue

:

DEWAN PLENARI PICC, PUTRAJAYA

Date

:

27/07/2009

Title

:

MAJLIS PERHIMPUNAN YAB. PERDANA MENTERI BERSAMA ANGGOTA PENTADBIRAN DAN PENJAWAT AWAM SERTA GLC


Bismillahirahmanirrahim


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.


Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet,

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Sidek bin Hassan,

Ketua Setiausaha Negara,

Yang Berbahagia Ketua-ketua Setiausaha Sulit,

Yang Berbahagia Ketua-ketua Jabatan,

Yang Berbahagia Pengerusi dan CEO Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan,

Yang Berbahagia Pengerusi dan Ketua-ketua Eksekutif Badan Berkanun,

Ahli-ahli Media Massa,

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang di hormati sekalian.


Merevolusi Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan


1. Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan kalimah dan rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Allah yang Maha Esa atas perkenannya jua kita dapat berhimpun dalam majlis perjumpaan yang penting ini. Sesungguhnya saya berasa sungguh sukacita kerana hasrat untuk bertemu langsung dan berucap kepada para penjawat awam dalam skala besar ini serta dipancarkan langsung kepada seluruh rakyat Malaysia dapat dilaksanakan.


2. Kendati itu, sebelum meneruskan ucapan ini, teringat saya kepada kata-kata hikmat oleh George Santayana seorang filusuf kawakan bahawa, orang yang gagal belajar dari sejarah akan dihukum untuk mengulangi kekhilafan yang lalu. Justeru, sebuah bangsa yang progresif dan dinamik akan sentiasa berpedoman kepada falsafah dari mana mereka datang, di mana mereka sedang berdiri dan ke mana arah tuju mereka seterusnya.


3. Pepatah Inggeris berbunyi, “Time and tide wait for no man”. Benar sekali, sesungguhnya, masa terus berguling dan peristiwa silih berganti tanpa menunggu sesiapapun. Menyingkap tirai sejarah, semenjak meraih kemerdekaan, Malaysia telah dihadapkan dengan pelbagai siri ujian yang telah menggoyah survival negara bangsa. Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi erti kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosio ekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 69, kemelesetan ekonomi 80an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an. Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redahi dengan jaya.


4. Ternyata walau apa pun ranjau dan rintangan yang kita tongkahi, rakyat Malaysia dengan kepimpinan yang bingkas lagi tangkas telah berjaya keluar dari segala kemelut dan kepayahan yang dialami dengan mencipta penyelesaian demi penyelesaian menurut acuan dan kaedah tersendiri.


Tuan-tuan dan puan-puan,


5. Seperkara yang menjadi cap kempa atau hallmark cara Malaysia ialah kita tidak pernah bimbang atau gusar untuk bersikap non konvensional, bereksperimen menggunakan kaedah baru, sekalipun berfikir di luar kotak pemikiran yang lazim. Contohnya, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang berjaya menghapuskan ancaman keganasan komunis secara komprehensif melalui kaedah kreatif memenangi pertarungan minda serta lelubuk hati massa. Berbanding dengan kuasa gergasi dunia seperti Amerika Syarikat dan Perancis yang telah gagal di Vietnam melalui kaedah kekuatan persenjataan semata-mata.


6. Di dalam membangunkan ekonomi negara kerajaan tidak hanya menghadkan penggunaan kaedah ekonomi pasaran bebas sahaja. Kita juga mengguna pakai kombinasi kaedah central planning dan market economy seperti rancangan pembangunan lima tahun dan pengislahan tanah oleh FELDA. Terbukti, kita tidak pernah takut, tandus atau bersifat terlalu dogmatik untuk mengguna pakai apa-apa wahana yang praktikal demi mendatangkan penyelesaian terbaik kepada Malaysia selama puluhan tahun ini.


7. Pasca tragedi 13 Mei pula telah menyebabkan banyak pihak meragui kemampuan perjalanan bahtera Malaysia sebagai sebuah negara bangsa apabila demokrasi terpaksa digendala. Namun kita telah berjaya mengesimakan para pengkritik dengan berjaya bangkit semula dari debu rusuhan perkauman dalam tempoh lapan belas bulan selepas darurat diisytiharkan.


8. Selain itu, bagi menyelesaikan secara holistik masalah ketidakseimbangan ekonomi kita telah mengambil langkah di luar lingkungan pemikiran ekonomi lazim ketika itu dengan memperkenalkan kaedah equitable distribution of wealth melalui Dasar Ekonomi Baru. Memang benar, banyak pihak yang was-was mengatakan bahawa ini ibarat dasar ekonomi “Robin Hood” mengambil dari yang kaya untuk diberi kepada si miskin dan meramalkan ia akan hanya mendatangkan kesan yang negatif kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Namun terbukti sebaliknya. Selama 20 tahun dasar berkenaan berlangsung, pertumbuhan ekonomi telah berkembang dengan ampuh.


9. Bukan itu sahaja, melalui dasar ekonomi baru kita juga telah berjaya memerangi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat secara tuntas. Alhamdullilah, bukan sahaja kita telah mencipta kelas menengah yang besar tetapi hari ini, hasilnya, kadar kemiskinan yang pernah mencengkam lebih 50 peratus isi rumah di Malaysia telah berjaya kita turunkan di bawah paras 4 peratus.


10. Apabila kemelesetan ekonomi pertengahan 80an menimpa negara pula, akibat harga komoditi dunia yang merudum, kita tidak goyang, sebaliknya telah melancarkan dasar industrialisasi dan pembangunan prasarana secara besar-besaran. Begitulah juga apabila menghadapi krisis kewangan Asia sekitar tahun 97 dan 98, kita telah mencipta kaedah kawalan modal dan tambatan mata wang yang kini menjadi salah satu kes kajian di Harvard Business School.


11. Kesimpulannya, Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembangunan semenjak kemerdekaan dicapai lebih lima dekad yang lalu. Kita akan meneruskan inisiatif-inisiatif di hadapan keluk bagi memastikan kejayaan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia dalam merealisasikan satu model ekonomi baru berteraskan kreativiti, inovasi dan nilai tinggi yang akan menjamin kelangsungan kemakmuran nasional.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


12. Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.


13. Kira-kira tiga minggu selepas itu, pada 28hb April, saya telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperi kementerian atau agensi kerajaan secara objektif.


14. Untuk makluman semua, KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisma ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.


15. Ini kerana Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.


Tuan-tuan dan puan-puan,


16. Makanya, pada hari ke seratus pentadbiran saya baru-baru ini, Alhamdulillah, segala syukur ke hadrat Allah, saya telah mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.


17. Jadi, sebetulnya pentadbiran saya mengambil daya usaha memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam. Puncanya ialah, saya tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan. Saya mahukan segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini dimaklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.


18. Lantas, hari ini saya akan meletakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, dengan ini saya akan memperincikan setiap satu dari 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang telah saya umumkan tempoh hari.


NKRA yang pertama : Mengurangkan Kadar Jenayah


19. Tentunya sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.


20. Di atas segalanya, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan dipecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:


21. Pertamanya, jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008.


22. Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.

23. Keduanya, yakni dalam hal menambah baik persepsi rakyat terhadap keselamatan awam pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemaskini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaiktaraf serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.


24. Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.


Tuan-tuan dan puan-puan,


NKRA yang kedua – Memerangi rasuah


25. Saya ingin tekankan di sini bahawa Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004. Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemaskini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.


26. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.


Tuan-tuan dan puan-puan,


NKRA yang ketiga – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan


27. Seperti yang kita semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelansungannya. Dalam konteks ini saya merupakan seorang pendokong kuat falsafah pendemokrasian pendidikan, bahawa, kita tidak mungkin dapat menjanjikan outcome yang sama namun kita komited dalam menyediakan peluang yang saksama pada garis permulaan. Jelasnya, kita akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosio ekonomi.


28. Dari itu, dalam bidang pendidikan, saya mahu memastikan anak-anak kita akan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini.


29. Lalunya, seiringan pesan orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya, Kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.


30. Laginya, suka atau tidak, adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, saya telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012. Golongan yang akses pendidikan pra sekolah, kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak kita yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang 2012 pencapaian ini sekurang-kurangnya dapat dinaikkan kepada 80%.


31. Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.


32. Selain itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.


Tuan-tuan dan puan-puan,


NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah


33. Dalam lapangan ini, sememangnya, pentadbiran saya bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.


34. Sehubungan ini juga, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kita sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat. Kita tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Pokoknya, kita mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, sukacita saya mengumumkan bahawa bermula Januari 2010 semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.


Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,


35. Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Kita juga akur bahawa, kaum hawa membentuk separuh dari penduduk Malaysia. Kerana itulah, kerajaan berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman


36. Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al Quran Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa, janganlah hendaknya harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara. Maka, atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir dari merasai mahsul kemakmuran. Lantaran itu, pentadbiran saya akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman. Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda daripada perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat tahun 2012.


37. Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir 2 juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.


38. Manakala di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh yang sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, 5km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.


Tuan-tuan dan puan-puan,


39. Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Justeru, Kerajaan telah menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Untuk tujuan ini sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan akan membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.


40. Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80% berbanding 99% di Semenanjung, Kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012. Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.


41. Sesungguhnya, kerajaan amat prihatin serta berazam untuk terus membela nasib golongan miskin dan miskin tegar. Oleh sebab itu, Kerajaan berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan ini. Sehubungan itu, Kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.


Tuan-tuan dan puan-puan,


NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa sederhana


42. Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.


43. Mengikut pada statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam. Makanya, Kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Namun, kita semua harus menyedari, untuk meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya, saya mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.


Tuan-tuan dan puan-puan,


44. Demikianlah, secara terperinci hala tuju pentadbiran saya untuk tempoh sehingga 2012. Sesungguhnya saya berasa amat gembira kerana penggubalan NKRA dan KPI bagi anggota pentadbiran dan penjawat awam ini mendapat komitmen penuh daripada semua pihak bermula dari Timbalan Perdana Menteri, para menteri, KSN, KPPA, KSP, KSU, ICU dan MAMPU. Semua peringkat anggota pentadbiran dan penjawat awam pun berada pada helaian pemahaman yang sama. Mereka bukan setakat menyokong, tetapi yang lebih utama telah meyakini bahawa inilah kaedah terbaik Malaysia untuk bergerak ke hadapan secara progresif bagi merealisasikan masa depan yang lebih cemerlang.


45. Malah, saya ingin maklumkan sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, 3 bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Sesuatu yang belum pernah lagi dibuat seumpamanya. Bengkel-bengkel tersebut tidak lain tidak bukan bagi merangka, memperinci dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.


46. Sesungguhnya, kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.


47. Justeru, saya ingin mengisytiharkan bahawa bagi setiap NKRA seorang menteri akan dilantik sebagai Lead Minister atau Menteri Pimpinan bagi menerajui NKRA yang telah ditetapkan. Bagi NKRA Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Dan Berkemampuan: Menterinya YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin, NKRA Mengurang Kadar Jenayah: Menterinya Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, NKRA Memerangi Rasuah: Menterinya Dato’ Seri Mohamad Nazri Aziz, NKRA Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah: Menterinya Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil, NKRA Memperkasa Prasarana Luar Bandar Dan Pendalaman: Menterinya Dato’ Seri Shafie Apdal dan NKRA Menambahbaik Pengangkutan Awam: Menterinya Dato’ Seri Ong Tee Keat.


48. Di atas semuanya, selaku Perdana Menteri saya akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI. Setiap minggu saya akan berjumpa dengan setiap seorang Lead Minister bagi menilai pencapaian KPI yang telah ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi 6 lapangan NKRA seperti direncanakan.


49. Sehubungan dengan ini juga, bagi anggota-anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA, mereka dan kementerian masing-masing tidak terkecuali dari mempunyai KPI. Setiap orang Menteri selain daripada 6 Lead Minister yang saya nyatakan tadi tetap dipertanggungjawab mencapai KPI kementerian masing-masing. Saya sendiri juga akan memantau prestasi kementerian-kementerian tersebut pada setiap enam bulan.


Tuan-tuan dan puan-puan,


50. Diakui pengenalan NKRA dan KPI ini bukanlah perkara baru namun the breadth and depth of the initiative yang ditekankan oleh pentadbiran sekarang adalah sesuatu yang unprecedented dan menjadi satu tanda aras yang terkini.


51. Selain itu, sesuai dengan pengumuman saya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama perkhidmatan awam mengenai cross fertilization suka saya mengumumkan bahawa 20 nama kakitangan kerajaan dan 20 kakitangan GLC telah dikenal pasti untuk ditempatkan dalamprogram ini dijadualkan bermula 1hb September tahun ini.

52. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Khazanah Nasional kerana sumbangan di dalam membangunkan NKRA dan KPI ini. Saya gembira kerana di antara anggota pentadbiran, penjawat awam dan GLC telah wujud satu bentuk pertautan atau seamless cooperation sebagai pemangkin kejayaan Malaysia.


Tuan-tuan dan puan-puan,


53. Akhir kalam, sebagai ketua kerajaan saya insaf bahawa yang akan menilai kepemimpinan ini akhirnya nanti adalah rakyat. Apa yang pasti saya dan rakan-rakan telah, sedang dan akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sehabis baik dan sedaya mampu.


54. Saya sedar bahawa apa yang telah saya gariskan hari ini adalah sesuatu yang monumental. Ia melibatkan komitmen mendalam dan tuntutan yang tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif. Nyatanya, amanah yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ianya sukar. Jelas sekali kita tidak mempunyai pilihan, sama ada kita bergerak maju ke hadapan dengan penuh yakin atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit ini.


55. Kata orang dulu-dulu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan boleh mendapat sagunya. Marilah bersama menghitung doa ke hadrat Allah yang Maha Kuasa agar kita diberi kekuatan dan ketabahan untuk melunaskan rancangan mulia ini. 1Harapan, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian terima kasih.


Sumber: Pejabat Jabatan Perdana Menteri (web)

Oleh Johari Ibrahim dan Saufi Hamzah (bhnews@bharian.com.my)

Mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir 2010.
  • Semua perolehan kerajaan menggunakan tender terbuka atau tender terhad bagi memerangi rasuah.
  • Pendidikan prasekolah dijadikan sebahagian sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana bagi memperluas akses pendidikan berkualiti.
  • Membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010.
  • Peruntukan RM10.9 bilion bagi membina jalan, bekalan air dan elektrik, selain baik pulih 50,000 rumah menjelang 2012.
  • Menetapkan 25 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam pada akhir 2012.
NKRA, KPI baiki mutu perkhidmatan: Usaha perjelas hala tuju pembangunan negara: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mewujudkan elemen kebertanggungjawaban yang serius di kalangan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata ia juga bagi memastikan rakyat mendapat gambaran lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan negara.

"Kepemimpinan tidak akan bermakna jika bukan berpaksikan pencapaian yang akan membolehkan perkhidmatan awam dan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh daripada aspek kuantitatif dan kualitatif.

"NKRA dan KPI diperkenalkan kerana tidak mahu rakyat sebagai pelanggan utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh kerajaan.

"Saya mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dimaklum dan diketahui agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran yang ditetapkan," katanya.

Beliau berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran, Penjawat Awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Najib menerusi ucapan bertajuk Merevolusi Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan: Pencapaian Diutamakan, memperincikan KPI setiap enam NKRA yang masing-masing diterajui oleh enam menteri, iaitu;

  • Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin - Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein - Mengurangkan kadar jenayah.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz - Memerangi rasuah.
  • Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil - Meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.
  • Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal - Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman.
  • Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat - Menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.
Najib juga berkata, setiap NKRA akan dikenal pasti menerusi KPI tersendiri dengan sasaran khusus supaya pencapaiannya dapat diukur.

Katanya, sistem KPI banyak diguna pakai oleh syarikat korporat dan dijadikan sebagai radas timbangan kerja yang berkesan, selain diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.

"Dengan adanya KPI, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan," katanya.

Perdana Menteri berkata, pada akhirnya rakyat akan memperoleh semua faedah daripada usaha itu, manakala beliau sendiri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI.

"Setiap minggu saya akan berjumpa setiap menteri peneraju bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Dalam setiap enam minggu saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan," katanya.

Beliau berkata, keutamaan yang digariskan adalah sesuatu yang besar dan penting membabitkan komitmen mendalam dan tuntutan tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif.

"Amanah yang diberikan rakyat di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah, sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ia sukar.

"Jelas sekali kita tidak mempunyai pilihan, sama ada kita bergerak maju dengan penuh yakin atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit ini." katanya.


Sumber: Berita Harian



Pejem celik sekarang dah masuk bulan syaaban, sekejap saja masa berlalu. Tidak lama lagi sampai bulan ramadhan pula. Tidak mengapa, asalkan kita dalam keadaan sedar sudah cukup, hehehe...Disini saya selitkan sedikit artikel yang dibaca dari islam hadhari.net untuk simpanan & bacaan umum...


Syaaban membawa maksud berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah s.a.w diangkat sebagai pesuruh-Nya, baginda mengekalkan nama itu – kekal sehinggalah sekarang. Rasulullah s.a.w telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadis baginda. Di antara hadis yang paling masyhur ialah Rasulullah s.a.w bertanya kepada sahabat-sahabat baginda.

“Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah s.a.w, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang amat banyak.” (petikan daripada kitab Raudatul Ulama)

Bulan Syaaban adalah bulan mulia, iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab – padanya Nabi Muhammad s.a.w dianugerahkan perjalanan Israk dan Mikraj dan bulan Ramadan di mana padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadan, salah satu daripada rukun Islam yang lima dan mulia. Ketiga-tiga bulan tersebut saling dihubungkait secara rapat – orang yang menyucikan badannya pada bulan Rejab, maka ia akan menyucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang menyucikan hatinya pada bulan Syaaban akan menyucikan rohnya pada bulan Ramadan.

Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan daripada segala dosa, dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati daripada segala cacat cela, manakala bulan Ramadan untuk memberi cahaya penerangan kepada hati, sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Peristiwa paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah s.w.t telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis ke Baitullah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat, al-Bara’ bin Azib, maksudnya: ”Selepas Rasulullah sampai di Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan.”

Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam Masjid Qiblatain ketika Rasulullah s.a.w sedang menunaikan solat Asar.

Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah dengan memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu turunlah ayat 142 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah, dalam bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah s.w.t untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah s.w.t. Ini kerana Rasulullah sudah sedemikian lama mengangkat atau menadah tangan baginda, berdoa dan memandang ke langit, memohon pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah s.a.w itu telah diperkenankan oleh Allah s.w.t pada bulan Syaaban.

Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulaang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka ke arah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada tuhan mereka, dan Allah s.w.t tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Oleh sebab bulan Syaaban adalah di antara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan yang tertentu dan tersendiri, maka wajar sekali usah kita biarkannya berlalu begitu sahaja tanpa mengerjakan amal-amal soleh yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Di antara amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan oleh kaum Muslimin sepanjang bulan Syaaban adalah seperti yang berikut:

- Berpuasa. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Daripada Aishah r.a, katanya: “… Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan genap, sesuatu bulan melainkan bulan Ramadan, dan aku tidak melihatnya mengerjakan puasa pada bulan yang lain lebih banyak daripada yang dikerjakan dalam bulan Syaaban.”

- Banyak melakukan amalan bagi meningkatkan ketakwaan dan ketaatan.

- Menahan dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan dosa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa mengagungkan bulan Syaaban dan bertakwa kepada Allah s.w.t dan melakukan ketaatan kepadanya dan menahan diri berbuat maksiat, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan memberi keamanan kepadanya daripada kemalangan-kemalangan mahupun penyakit-penyakit yang terjadi pada tahun itu seluruhnya.”

- Menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat-ibadat seperti membaca al-Quran, beristighfar, berzikir dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa menghidupkan malam daripada dua hari raya dan malam pertengahan daripada bulan Syaaban, hatinya tidak akan mati, manakala hati-hati orang lain mati.”

- Memperbanyakkan sembahyang- sunat seperti sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi.

- Bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim.

- Melakukan amal-amal kebajikan serta memohon keampunan kedua-dua ibu bapa.

- Memohon restu ke hadrat Allah s.w.t bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

- Memohon restu ke hadrat Allah s.w.t semoga terhindar daripada segala bala bencana, malapetaka dan huru-hara bagi diri sendiri, ahli keluarga, Muslimin dan Muslimat, bangsa dan negara.

- Berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t di setiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengkehendaki (dengan amal usahanya) mendapat manfaat di akhirat, Kami akan memberinya tambahan pada manfaat yang dikehendakinya dan sesiapa yang mengkehendaki (dengan amal usahanya) kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan memperoleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (al-Syura: 30

sumber: islam hadhari.net

-