kipil

"....Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu...sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan...senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan....segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman..."

Selamat Datang

Random Post

Kata Bijak Pandai

Tanda cerdik seseorang adalah pada ucapannya........

Tanda berani seseorang adalah pada tindakannya........


Tanda bijak seseorang adalah pada keterampilannya........


Tanda mulia seseorang adalah pada keperibadiannya......


-Prof. Dr. Hamka

Label


Saja

Malaysian Super League 2017

Carian

Google
 

Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan." (Abu ad-Darda' r.a)

Pengajaran hadith:
i) Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya.

ii) Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.

iii) Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama’ dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu.
source


Kategori ilmu yang wajib dipelajari

* Fardu Ain - Wajib dipelajari (Akidah, syariah, akhlak)

* Fardu Kifayah - Perlu dipelajari untuk memenuhi keperluan diri, masyarakat dan negara (perubatan, perniagaan, teknologi)

Ilmu sihir diharamkan untuk dipelajari


Kelebihan Menuntut Ilmu

* Allah memudahkan jalan ke syurga
* Malaikat bersama mereka yang menuntut ilmu
* Semua makhluk memohon keampunan untuk mereka
* Bagaikan bulan menyinari alam


Kedudukan Orang Berilmu di Sisi Allah

* Ditingkatkan darjat di dunia dan akhirat
* Hamba yang takut kepada Allah
* Hatinya hidup dalam cahaya hikmah
* Pahala yang berterusan


Kedudukan Orang yang Tidak Berilmu

* Jahil dan malas
* Membinasakan diri
* Kemungkaran berlaku dengan berleluasa
* Pengangguran dan peleseran


Pengajaran

* Dituntut pelajari ilmu
* Allah memudahkan jalan ke syurga bagi mereka yang mati ketika menuntut ilmu
* Allah dan rasul beri kelebihan kepada mereka yang menuntut ilmu
* Allah beri pahala orang menuntut ilmu sama seperti orang berjihad di jalan Allah


Sebagai seorang Muslim, saya menaruh keyakinan dan kepercayaan yang tinggi mengenai nilai suruhan atau larangan sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi dalam soal ibadah mahupun cara hidup.

Kebanyakan kita tidak mengetahui kebaikan duduk iftirash dari segi kesihatan. Kalau kita melihat gambar rajah reflexology , apabila kedudukan dalam keadaan iftirash ini, kaki kanan kita mendapat tekanan di bahagian atas kaki dan kaki kiri kita dapat tekanan bawah & tengah kaki.



Duduk iftirash ni memberi 'tekanan reflexology' yang menyeluruh. Tapi bagi orang yang tidak menegakkan kaki kanan, mereka hanya mendapat 'tekanan reflexology' utk sebahagian tubuh sahaja (tidak meliputi bahagian - Brain, Neck, throat, heart, voice sinus, pituitary glands, etc spt dalam gambarajah). Ini merugikan!!

Seeloknya, kita cubalah untuk duduk iftirash dengan sempurna.

Gesaan ini bukan sekadar atau semata-mata atas dasar kesihatan yang kita mahukan, namun matlamat kita dalam memperelokkan lagi nilaian ibadah kepada ALLAH, itu yang seharusnya menjadi perhatian di samping niat untuk mengikut sunnah Nabi SAW.

Hasilnya nanti tidak merugikan. Disamping mendapat pahala menyempurnakan 'ikmalu Ibadah' dan 'ikmalu Sunnah' ia juga memberi 'bonus' kepada kesihatan yang menyeluruh melalui 'indirect reflexology excersize' utk bahagian kritikal - brain, neck, throat, etc...


Dari Abu Hamid al-Sa`idi ra., katanya:

Aku melihat Nabi Muhammad saw..Apabila Baginda saw duduk pada rakaat yang kedua (Untuk membaca tahiyyat awal), ia duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan (Duduk iftirash)..

-Hadith sahih riwayat Bukhari-.


Pengajaran hadith:

1. Disunatkan duduk iftirash pada tahiyyat pertama.

2. Duduk iftirash juga disunatkan semasa duduk antara dua sujud dan ketika duduk istirahah iaitu duduk sesudah bangkit dari sujud yang kedua (Mustika Hadith)

3. Amalan duduk iftirash adalah sunnah Rasul saw dan apabila kita mengamal dan menyampaikannya kepada orang lain untuk mengamalkannya adalah mendapat pahala dan keberkatan dari Allah SWT.

4. Amalan-amalan Rasul saw adalah bercahaya dan boleh mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT.


Sumber: khairulidham

Puchong ialah satu kawasan pinggir bandar yang berada di dalam lingkungan metropolitan Kuala Lumpur-Lembah Klang. Pada asasnya kawasan Puchong merujuk kepada kawasan yang sejajar dengan Jalan Puchong, iaitu sebatang jalan raya yang menghubungkan Kuala Lumpur-Jalan Klang Lama di utara dengan Daerah Sepang di selatan. Dari segi pentadbiran, Puchong adalah di bawah lingkungan Daerah Petaling, dan ditadbir oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Puchong Selatan di bawah lingkungan Daerah Sepang dan ditadbir oleh Majlis Perbandaran Sepang. Puchong dihubungkan dengan bahagian lain Lembah Klang melalui Lebuhraya Damansara-Puchong dan Lebuhraya Sungai Besi.

Puchong terbahagi kepada 2 kawasan Parlimen iaitu kawasan parlimen Puchong yang mengandungi 2 kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Kawasan Kinrara dan Seri Serdang dan Parlimen Sepang yang merangkumi Puchong Selatan yang diletakkan dalam Dewan Undangan Negeri kawasan Dengkil.

Sejarah Puchong

Puchong telah wujud sekurang-kurangnya 120 tahun dahulu. Contohnya dikatakan Kuil Hindu di Puchong Batu 12 mempunyai sejarah selama 120 tahun. Manakala bagi SRK(C) Han Ming di Puchong Batu 14, ia telah disahkan mula beroperasi sejak tahun 1921 manakala SRJK(C) Sin Ming di Puchong Batu 17 mula beroperasi pada tahun 1934. Terdapat juga Sekolah Melayu yang awal dibina di Puchong iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti yang mula dibuka pada tahun 1946.

Sejarah awal Puchong adalah tidak jelas. Tetapi sejarah Puchong sehingga tahun 1980-an masih boleh dikesan melalui sumber lisan.

Puchong pada 1980-an

Ekonomi Puchong pada era ini adalah sangat bergantung kepada industri perlombongan (timah & pasir), penorehan getah dan juga pemprosesan serbuk kari. Pada zaman ini pola penempatan Puchong adalah berbentuk sejajar dengan Jalan Puchong. Penempatan ini ditandai dengan "Batu". Penempatan di kawasan Puchong pada zaman itu adalah seperti berikut:

* Batu 6 - Sekarang kawasan ini merujuk kepada kawasan di sebelah jambatan yang melintasi Lebuhraya Shah Alam, sebelah Kuala Lumpur.

* Batu 8 - Sekitar kawasan Kinrara dan Taman Pak Siong.

* Batu 9 - Merupakan kawasan pusat bagi Puchong, dikenali juga sebagai Bandar Puchong Jaya. Puchong Jaya merupakan salah satu susur keluar ke Lebuhraya Puchong-Sungai Besi , Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

* Batu 11 - Kini masih wujud, merujuk kepada Kampung Melayu berhampiran "Lurah Besar" Puchong, dekat dengan Bandar Puchong Jaya. Di tahun 60an hingga 70an terdapat sebuah kawasan penternakan buaya di Batu 11 Puchong dan pada tahun 70an juga terdapat satu banjir besar telah melanda Puchong. Akibat dari peristiwa banjir tersebut, kebanyakkan buaya buaya yang berada di kawasan Batu 11 Puchong telah terlepas dan mendiami kebanyakan sungai, lombong dan juga tasik di sekitar Puchong. Ini termasuk juga 'Buaya Puchong' yang mendiami tasik di Kampung Sri Aman. Ramai warga setempat mengatakan yang buaya tersebut terlepas semasa banjir besar pada tahun 70an dan telah mendiami tasik berkenaan.

* Batu 12 - Pada masa dulu ia adalah pusat bagi penduduk Puchong. Balai polis Puchong asal terletak di sini tetapi sekarang telah dipindahkan ke Bandar Puchong Jaya. Terdapat juga beberapa buah rumah kedai namun telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Damansara Puchong. Kawasan ini sekarang lebih dikenali sebagai Bandar Puteri Puchong. Tepat pada selekoh besar LDP, terdapat kilang traktor. Sekarang pekan Puchong Batu 12 cuma tinggal sebuah Masjid, dan juga rumah JKR.

* Batu 13 - Merujuk kepada penempatan di tepi Sungai Kelang. Di sini juga ada sebuah kilang kari iaitu kilang Kari Cap Burung.Terdapat 6 buah kampung di Batu 13 Puchong Kampung Baru Sri Puchong, Kampung Sri Langkas, Kampung Sri Langkas Tambahan,Kampung Sri Aman, Kampung Tengah dan Kampung Kenangan. Diakhir tahun 60an terdapat satu peristiwa buruk dimana sebuah kapal korek dikawasan perlombongan di Puchong telah terbalik, ia berlaku di Batu 13 yang mana sekarang dipanggil sebagai Puchong Permai. 'Buaya Puchong' yang dahulunya menjadi tajuk besar didalam surat khabar juga berasal dari sebuah tasik semulajadi di Kampung Sri Aman Batu 13 Puchong.

* Batu 14 - Merupakan penempatan tradisi di kawasan Puchong yang dipelihara dengan lengkap. Terkenal dengan hubungan kaum yang baik antara kaum Melayu-Cina-India-Orang Asli (Puak Rasau). Selain itu tempat ini juga terkenal dengan masakan Hakka Yong Tau Fu.

* Batu 16 - Sebuah penempatan estet yang telah dibangunkan menjadi kawasan perumahan baru iaitu Bandar Bukit Puchong 1 dan Bandar Puchong Utama.

* Batu 17 - Merujuk kepada kawasan lombong Ayer Hitam yang merupakan lombong terbesar di Puchong. Dahulu di sini terdapat banyak penempatan penduduk. Namun pada pertengahan 1980-an, apabila lombong ditutup kawasan ini dikenali sebagai bandar hantu sehinggalah kerajaan negeri membangunkan semula kawasan ini kepada pertumbuhan penempatan baru yang dikenali sebagai Putra Perdana, Danau Putra, Aman Putra dan Nusaputra.

* Batu 18 - Merujuk kepada kawasan sekitar Kampung Pulau Meranti dan kawasan perumahan baru seperti KiPark Puchong,Taman Meranti Indah dan Desaria Kondominium.

Kawasan Puchong mempunyai penduduk dianggarkan menghampiri 380,000 orang. Namun jumlah ini adalah jumlah yang telah dimasukkan sebahagian kawasan Sepang yang mempunyai poskod yang sama iaitu dari 47100 sehingga 47190 di bawah nama Puchong dan ianya ditadbir oleh Majlis Perbandaran Sepang. Demografi Puchong terbahagi kepada dua iaitu:-

Kawasan Daerah Petaling

Jumlah penduduk Puchong di kawasan Daerah Petaling adalah dianggarkan seramai 295,000 orang. Dari segi komposisi kaum, kaum Melayu menguasai 45% peratus dari jumlah penduduk diikuti oleh kaum Cina 40%, India 14% dan kaum-kaum lain mewakili 1 peratus dari keseluruhan penduduk. Kebanyakkan kaum Melayu mendiami kawasan kampung-kampung di sepanjang Sungai Kelang dan taman-taman perumahan seperti di Puchong Permai, Puchong Perdana, Puchong Prima, Puchong Indah, Puchong Utama, Bandar Bukit Puchong 1 dan Puchong Intan. Manakala kaum Cina banyak tertumpu kepada kawasan-kawasan perumahan yang besar seperti Bandar Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Bandar Puteri, Bandar Kinrara, sekitar Puchong Batu 8, Taman Kinrara, Kampung Baru Cina di Batu 14 dan Mutiara Puchong. Bagi kaum India pula penempatan mereka tertumpu kepada Kampung Bunga Melur di Batu 14, sekitar Sri Puchong dan Kampung Tun Razak. Terdapat juga penempatan kaum asli di Puchong iaitu di Puchong Batu 14 dikenali sebagai Kampung Sungai Rasau.

Kawasan Daerah Sepang

Bagi jumlah penduduk Puchong di kawasan Daerah Sepang pula, jumlah penduduknya adalah dianggarkan seramai 85,000 orang. Dari segi komposisi kaum, kaum Melayu adalah kaum majoriti iaitu dianggarkan sebanyak 77%, diikuti kaum Cina 10% dan kaum India 13%.

Sumber: Wikipedia

Sumber: Utusan Online

30 September 2009

Satu gempa bumi 7.6 pada skala Richter menggegar Padang di pulau Sumatera, Indonesia. Seramai 704 mangsa mati dan sehingga 4,000 terperangkap di bawah runtuhan. Gegaran sekuat 7.0 pada skala Richter menggegar bahagian selatan Sumatera beberapa jam kemudian.

29 September 2009

Tsunami besar tercetus ekoran gempa 8.0 skala Richter di Samoa dan American Samoa, membunuh sekurang-kurangnya 177 orang di wilayah itu, sementara beratus-ratus yang lain dilaporkan hilang. Tsunami turut melanda Tonga.

2 September 2009

Gempa 7.0 skala Richter menggegar Tasikmalaya, pulau Jawa, mengorbankan 123 orang dan mencetuskan tanah runtuh.

6 April 2009

Hampir 300 maut di bandar L'Aquila, Itali apabila gempa 5.8 pada skala Richter melanda.

29 Oktober 2008

Barat daya Pakistan digegar gempa 6.4 skala Richter, menyebabkan sehingga 300 penduduk meninggal dunia dan berpuluh ribu yang lain hilang tempat tinggal.

12 Mei 2008

Gempa 8.0 skala Richter menggegar Sichuan, barat daya China. Lebih 87,000 maut atau hilang.

3 Februari 2008

Satu gempa dengan magnitud 6.1 pada skala Richter menggegar timur Congo dan barat Rwanda, membunuh 45 orang dan menyebabkan ribuan yang lain hilang tempat tinggal.

2 April 2007

Lebih 50 nyawa maut, sementara ribuan yang lain hilang tempat tinggal selepas gempa bermagnitud 8.0 skala Richter melanda Kepulauan Solomon dan menyebabkan tsunami.

6 Mac 2007

Gempa berukuran 6.3 pada skala Richter menggegar pulau Sumatera, merobohkan bangunan dan mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang.

17 Julai 2006

Sekurang-kurangnya 596 maut, lebih 9,500 cedera dan 74,000 yang lain hilang tempat tinggal setelah gempa dasar laut sekuat 7.7 skala Richter melanda pulau Jawa dan mencetuskan tsunami.

27 Mei 2006

Wilayah Yogyakarya dilanda gempa 6.3 skala Richter, mengorbankan 6,000 mangsa dan menyebabkan 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal.

8 Oktober 2005

Satu gempa 7.6 pada skala Richter membunuh lebih 75,000 orang, kebanyakannya di bahagian sempadan di Pakistan Utara dan wilayah Kashmir. Seramai 3.5 juta hilang terpaksa dipindahkan.

28 Mac 2005

Sekurang-kurangnya 900 maut apabila gempa dengan magnitud 8.6 pada skala Richter menggegar pulau Nias, Sumatera.

26 Disember 2004

Gempa dasar laut sekuat 9.1 skala Richter dari pantai pulau Sumatera mencetuskan tsunami yang membunuh 220,000 mangsa di sekitar Lautan Hindi termasuk 168,000 nyawa di Acheh, Indonesia.

26 Disember 2003

Gempa kuat 6.7 pada skala Richter menggegar bandar Bam, Iraq, mengakibatkan sekurang-kurangnya 31,884 maut dan mencederakan 18,000 yang lain.

26 Januari 2001

Gujarat di barat India digegar gempa kuat, mengorbankan 25,000 orang dan 166,000 mangsa cedera. - AFP

Sumber: Utusan Online


Oleh Mohd Azis Ngah
(azis@bharian.com.my)

DALAM tempoh beberapa minggu lalu, rantau Asia Pasifik teruk dilanda beberapa bencana alam yang mengorbankan ribuan nyawa. Paling teruk, Taufan Ketsana yang mengorbankan lebih 400 orang di Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Bencana itu disusuli pula dengan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang melanda Padang, Sumatera, Indonesia mengakibatkan hampir 1,000 nyawa terkorban, belum termasuk kategori orang hilang yang kemungkinan besar akan menyumbang kepada peningkatan statistik korban.

Pada hari sama juga, tsunami membadai Samoa Amerika dan Samoa Barat, mengakibatkan hampir 150 orang maut.

Beberapa hari lalu, Filipina sekali lagi dilanda musibah taufan disifatkan sebagai 'super typhoon' dikenali Taufan Parma, mengakibatkan banjir kilat yang mengorbankan hampir 300 orang di Manila dan sekitarnya.

Taufan itu melanda timur laut pulau Catanduanes di tengah Filipina pada kelajuan 180 kilometer sejam, meniup kencang menghala ke arah barat daya menuju tanah besar Luzon, dengan membawa hujan yang amat lebat.

Keadaan itu membimbangkan kerana Malaysia berada dalam lingkungan tengah antara semua negara terbabit. Semuanya berlaku berhampiran Malaysia iaitu gempa Sumatera (barat Semenanjung) manakala taufan melanda Filipina (Sabah dan Sarawak) serta Kemboja dan Vietnam (timur Semenanjung).



Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari menjelaskan, secara geografi, rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sebenarnya dihimpit dari semua arah oleh pergerakan plat tektonik iaitu Plat Indian Australia, Plat Pasifik dan Plat Eurasian.

Katanya, pergerakan plat tektonik ini menyebabkan rantau ini mempunyai kawasan aktiviti seismik yang aktif dikenali sebagai 'lingkaran api' yang mengunjur dari Laut Andaman, perairan barat Sumatera, Pulau Jawa, Sulawesi, Irian Jaya, dan Filipina.

Kedudukan Malaysia yang berhampiran pertembungan plat tektonik di sebelah barat kepulauan Sumatera dan di kepulauan Filipina menyebabkan beberapa aktiviti gempa bumi yang terjadi di kawasan berkenaan turut dirasai di Malaysia.

"Jika dilihat kepada statistik, ia agak membimbangkan kerana secara purata, Filipina dilanda bencana taufan 20 kali setahun dan sembilan daripadanya serius dan tepat. Ini berlaku kerana ia berada di kedudukan tempat pertukaran putaran angin tekanan rendah yang akan menarik udara tekanan tinggi.

"Namun, biasanya laluan pergerakan angin itu yang menyumbang kepada taufan sebenarnya lebih menghala ke arah China, Jepun, Taiwan dan kadang kala tersasar ke Vietnam dan Kemboja.

"Keadaan itu berlaku pada kawasan yang mempunyai suhu 7 darjah Celsius utara dan selatan dan hakikatnya, Malaysia langsung tidak cenderung ke arah itu kerana mempunyai daya tarikan suhu hampir 0 darjah Celsius.

"Jika ada, ia cuma angin ribut pada suhu permukaan atau ribut tropika mengakibatkan angin kencang dan ribut petir. Cuma Sabah dan Sarawak agak terdedah kepada risiko berkenaan terutama di pantai barat Sabah," katanya.

Hakikat yang harus dibimbangi juga ialah Indonesia kerap dilanda gempa bumi dan tsunami, bahkan kesan gegarannya turut dirasai di negara ini.

Alui berkata, pertembungan plat tektonik di sebelah kepulauan Sumatera berlaku setiap tahun dengan purata pergerakan garis sesar aktif sebanyak 7 sentimeter (sm) setahun manakala di Filipina, ia merekodkan pergerakan 11 sm setahun.

"Ia terlalu kecil dan jarang dirasai gegarannya. Umpama individu yang mengalami tekanan perasaan, lebih baik dilepaskan sedikit demi sedikit daripada dibiarkan dan dipendam. Akibatnya, jika dipendam terlalu lama, ia akan 'meletup' mengakibatkan gempa besar dan boleh terjadi tsunami," katanya.

Seorang lagi pakar meteorologi merangkap Ketua Pemantau Sistem Bumi, Simulasi dan Iklim, Institut Sains Laut dan Bumi, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata taufan boleh dikesan berdasarkan petanda cuaca buruk dan pergerakan angin, tetapi keadaannya berbeza jika berlaku gempa bumi terutama yang kuat hingga menyebabkan tsunami.

"Pergerakan angin 'tidal search' juga boleh menyebabkan banjir di kawasan pantai dengan ketinggian ombak mencecah 3 hingga 4 meter tetapi tenaganya agak rendah berbanding ombak tsunami kerana tenaganya sangat kuat dan kekal walaupun ketika melanda pantai hingga menghasilkan ombak tinggi.

"Jika wujud rekahan plat sedalam satu kilometer, kelajuan ombak yang terhasil boleh mencecah 360 kilometer sejam. Maknanya, ombak itu boleh sampai dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dalam tempoh sejam, sama kelajuan kapal terbang," katanya.

Info

# Definisi gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

# Tsunami: Satu perkataan Jepun bermaksud 'ombak pelabuhan'. Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.

Sumber: Utusan Online

NEW JERSEY 8 Okt. – Penduduk Islam di dunia kini berjumlah 1.57 bilion, nisbah satu kepada empat orang penduduk dunia, menurut satu laporan komprehensif, semalam.

Laporan oleh Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam itu menyediakan satu angka tepat yang sebelum ini jumlahnya hanya dianggarkan.

Projek yang mengambil masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan kenyataan-kenyataan yang mungkin mengejutkan.

Sebagai contoh, Jerman mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon; China mempunyai lebih ramai penduduk Islam daripada Syria dan Rusia pula mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya.

“Andaian yang menyatakan bahawa Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam, ternyata tidak benar dengan adanya laporan ini,” kata Amaney Jamal, penolong profesor politik di Universiti Princeton yang mengkaji semula salinan awal laporan itu.

Pegawai-pegawai Pew menganggap laporan tersebut adalah yang paling lengkap dalam kategorinya dan meletakkan agama Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian, yang dianggarkan mempunyai antara 2.1 bilion hingga 2.2 bilion penganut.

Laporan itu turut mendapatkan pecahan antara pengikut mazhab Sunni dengan Syiah tetapi kesulitan timbul kerana tidak banyak negara membuat pecahan seumpamanya, kata penyelidik kanan projek, Brian Grim.

Maka, bilangan pengikut Syiah tidak dianggap khusus dengan laporan menganggarkan Syiah mewakili antara 10 dan 13 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia, yang sejajar atau sedikit rendah berbanding kajian-kajian lain.

Sebanyak 80 peratus pengikut Syiah tinggal di empat negara iaitu Iran, Pakistan, India dan Iraq.

Laporan turut mendedahkan bahawa meskipun nadi Islam terletak di Asia Barat, bilangan terbesar umat Islam adalah di Asia iaitu meliputi lebih 60 peratus.

Asia Barat dan Afrika Utara hanya mewakili kira-kira 20 peratus umat Islam, 15 peratus di Afrika Sub-Saharan, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.

Seramai 317 juta penduduk Islam atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam pula tinggal di negara yang penduduknya bukan majoriti Islam.

Sebanyak 10 negara telah disenarai mempunyai penduduk dua per tiga beragama Islam iaitu Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Iran, Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Nigeria. – AP

Sumber: Utusan Online

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

MAJLIS rumah terbuka dalam masyarakat Islam di Malaysia sudah jadi satu tradisi, bersilih ganti dari rumah ke rumah, sekali gus menyemarakkan amalan berkunjungan dan ber maafan sepanjang Syawal yang mulia.

Ia mencerminkan keindahan nilai mulia dalam Islam seperti sifat pemurah, bantu membantu, menghubungkan ikatan persaudaraan, memupuk kesepakatan dan perpaduan.

Cuma, dalam kegembiraan dan kemeriahan Syawal itu, ditambah senyum tawa bersama hidangan istimewa di ha dapan membuatkan sesetengah kita lupa konsep dan falsafah rumah terbuka.

Malah, masih ada terkeliru dengan majlis itu sehingga rumah terbuka yang diadakan tidak ubah seperti pesta keramaian.

Apakah ini konsep rumah terbuka yang kita mahukan seperti dianjurkan syariat?

Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Nilam Puri, Muhammad Lukman Ibrahim, berkata majlis rumah terbuka adalah suatu amalan terpuji walaupun tiada nas khusus.

Beliau berkata, ia diadakan dengan mengambil asas pe mahaman hari raya dan contoh ikutan dilakukan Rasulullah s.a.w yang memberi makan golongan miskin pada bulan Ramadan.

“Dahulu Nabi s.a.w memberi makan orang miskin dari bulan puasa lagi. Nabi dan kalangan sahabat mengutamakan orang miskin.

“Tetapi sesetengah kita mengadakan majlis keraian pada bulan Syawal sahaja, malah jemputan hanya membabitkan golongan tertentu dan mengabaikan orang miskin,” ka tanya.

Majlis keraian di rumah terbuka akan mendapat keberkatan dan limpahan rahmat sekiranya ia bertepatan dengan anjuran agama, tetapi jika sebaliknya ia menjadi majlis dilaknati.

Katanya, antara garis panduan yang perlu dipatuhi ialah majlis itu diadakan secara sederhana, bukannya berlebih-le bihan sehingga berlaku pembaziran.

Al-Quran mengingatkan manusia mengenai pembaziran, maksudnya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Al-Isra, 27)

Tujuan rumah terbuka pula, katanya, semata-mata untuk mencapai reda Allah, bukannya untuk berbangga dan me nunjuk-nunjuk kononnya dia adalah golongan berada, ber kemampuan dan banyak harta.

Orang yang berbangga-bangga akan dibenci sesama ma nusia.

Allah juga tidak suka kepada golongan terbabit seperti ditegaskan dalam al-Quran: “Sesungguhnya Allah tidak me nyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

(Luqman, 18)

“Sesetengah orang mengadakan rumah terbuka secara ikut-ikutan, tidak mengetahui konsep dan falsafah di se baliknya, sehingga timbul rasa bangga dan riak pada majlis yang diadakan.

“Malah, ada pula mengadakan rumah terbuka supaya keluar gambarnya dalam akhbar atau televisyen, tiada keikhlasan dan jika begini, macam mana akan mendapat pahala,” kata Muhammad Lukman.

Beliau berkata, apabila seseorang itu ingin mengadakan rumah terbuka dia tidak boleh membeza-bezakan tetamu, antara miskin dan kaya, berpangkat dan berpengaruh ataupun tidak.

“Islam tidak menggalakkan umatnya mewujudkan per bezaan antara si miskin dan kaya di dalam satu-satu majlis.

“Sekiranya berlaku juga, hukum wajib menghadiri majlis itu boleh berubah menjadi tidak wajib.

“Kemudian, dalam majlis juga perlu menjaga batas syariat, mengelak percampuran antara lelaki wanita dan tidak terbabit dengan aktiviti melalaikan seperti karaoke,” katanya.

Bagi tetamu yang berkunjungan ke rumah saudaranya dengan ikhlas akan disukai dan dicintai Allah, sebagaimana ditegaskan Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diri wayatkan Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada Abu Hur airah r.a bermaksud: “Ada seseorang yang berziarah ke tempat saudaranya kerana seagama dalam suatu kampung, lalu Allah mengutus malaikat untuk mendatangi jalan yang dilalui. Setelah bertemu, lalu mailaikat bertanya, ke mana saudara akan pergi?

“Jawabnya, hendak ke tempat saudara saya di dalam kam pung ini. Malaikat bertanya, apakah kedatangan saudara itu kerana ada sesuatu kenikmatan daripadanya yang akan saudara dapatkan? Jawabnya, tidak, saya datang semata-mata kerana saya mencintainya untuk mengharapkan keredaan Allah.

“Kemudian malaikat itu berkata lagi, ketahuilah sesung guhnya saya adalah utusan Allah (untuk menemui saudara dan untuk mengatakan) bahawa Allah mencintai saudara sebagaimana saudara mencintai orang itu.”

Rumah terbuka sempena Aidilfitri sekiranya difahami se baik-baiknya boleh menjadi wadah bagi merungkai ke keliruan, mengutuhkan perpaduan dan menyuburkan mua fakat sesama manusia.

Islam juga menggalakkan umatnya untuk bergaul, ber tandang dan beramah mesra dengan yang lain seperti di tegaskan dalam hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Majah bermaksud: “Seorang Mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahan suka duka ma syarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang Mukmin yang hidup tidak bergaul dalam masyarakat umum...”

sumber: Harian Metro

Susunan Hashim Ahmad
(rencana@hmetro.com.my)

SATU peristiwa besar sekali gus bersejarah ini terukir dalam kitab suci al-Quran.

Firman Allah s.w.t bermaksud: "Maha Suci Allah, yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra': Ayat 1)

Umumnya, kita maklum mengenai rentetan peristiwa yang menunjukkan kebesaran Allah ini.

Dengan kekuasaan-Nya, Allah menunjukkan kebesaran-Nya kepada manusia, melakukan sesuatu di luar hukum tabii (hukum alam) dan di luar kemampuan akal budi manusia.

Merenungkan kebesaran dan kekuasaan Allah dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj adalah sesuatu yang penting dalam rangka mengingatkan kita kepada jati diri sebagai manusia dan tugas menjalani hidup di dunia ini.

Namun, yang tidak kurang pentingnya adalah sejauh mana kita mampu menangkap pengajaran daripada peristiwa luar biasa itu.

Kita maklum bahawa inti pertemuan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w di Sidratul Muntaha adalah untuk diturunkan kewajiban yang paling asas dalam Islam iaitu melaksanakan solat lima waktu.

Begitu pentingnya perintah solat ini bagi manusia sehingga solat diibaratkan sebagai 'tiang agama.'

Jika tiang itu rosak atau kurang sempurna, agama seseorang pun mungkin akan roboh.

Pengertian solat yang sedemikian penting ini sudah tentu bukanlah pengertian solat dalam bentuk verbal (yakni perbuatan yang dimulai dari takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam) saja, akan tetapi solat dalam pengertiannya yang utuh, solat yang menjadi alat pembentukan moral dan peribadi sosial.

Hubungan antara solat dengan tanggungjawab sosial digambarkan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud: "Baca-lah apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain)." (Surah Al-Ankabut: Ayat 21).

Berdasarkan pada ayat ini, jelas bahawa ibadah solat mempunyai kaitan dengan 'tanha 'anil fakhsya wal munkar (gerakan mencegah segenap perbuatan keji yang merosak dan pelbagai bentuk kemungkaran).

Dengan kata lain, solat yang sempurna dapat membentuk peribadi yang bersih serta memiliki kekuatan memperbaiki keadaan sosial dalam kerangka besar fastabiqul khairat (berlumba-lumba dalam berbuat kebajikan).

Namun batasan solat seperti ini nampaknya masih kurang diserap maknanya oleh masyarakat.

Berkembang suburnya budaya rasuah, pakatan, kekerasan dan kezaliman merupakan satu fenomena yang sangat membimbangkan jika mengingatkan penduduk yang majoritinya beragama Islam.

Keadaan ini membuktikan bahawa ibadah solat hanya dipandang sebagai ritual dan formaliti belaka, tidak ada kaitannya dengan masyarakat dan lingkungan hidup manusia.

Padahal agama tidak pernah memisahkan antara kewajiban kepada Allah (Haqqullah) dan kewajiban kepada sesama manusia (Haqqul Adam).

Agama Islam diturunkan untuk membentuk manusia yang sedar akan jati dirinya sebagai seorang hamba, sekali gus sebagai agama yang menjamin kemaslahatan hidup manusia itu sendiri.

Kualiti keimanan dalam Islam selalu dikaitkan dengan amal solih.

Solat dilekatkan dengan mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Puasa beriringan dengan perasaan peka terhadap sesama manusia. Zakat bertalian dengan kesedaran akan hak fakir miskin dan haji dikaitkan dengan perasaan kesetaraan manusia dan seterusnya.

Oleh itu, marilah kita menjadikan solat faktor utama melakukan perubahan dalam berbagai segmen kehidupan ke arah yang lebih baik.

Mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahnya kepada kita semua, memberikan jalan taubat kepada serta menuntun kita dalam mewujudkan baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur di tengah-tengah negara yang dilanda krisis ini.

Oleh: DR. HM TUAH



Jika suami anda menyendiri dan menjauhkan diri, ketahuilah dia dalam keadaan tertekan. Boleh jadi ada tekanan di tempat kerjanya, boleh jadi oleh kereta yang dimilikinya, atau boleh jadi beberapa kerenah anda yang menjadi menyebabnya.

Apabila lelaki menyendiri, kita boleh simpulkan dia sedang tertekan,berbeza dengan anda, dalam keadaan tertekanlah segala rahsia akan diceritakan. Anda melakukan begitu untuk meraih simpati.

Meskipun begitu, usahlah risau, ia sekejap saja. Emosi pada orang lelaki umpama getah, sekejap saja telah kembali ke bentuk asal walaupun tadinya terhenyak pipih. Berbeza dengan anda bukan? Tatkala anda tertekan, emosi anda umpama ombak. Ombak memang tidak pernah reda, kalau reda pun mengambil masa yang lama.

Apabila lelaki suka menyendiri dan berdiam diri, biasanya disebabkan imejnya yang tergugat. Biarkan sahaja untuk tempoh-tempoh tertentu. Usah 'gatal-gatal' sangat memujuk. Kadang-kadang lelaki hanya perlukan 'tempoh bertenang' sebelum mengambil langkah seterusnya. Anda kelam-kabut, maka itu anda mudah marah, cemburu dan merajuk apabila berdepan dalam situasi begini. Ohhh, itu silap.

Lelaki selalunya dapat menyesuaikan diri apabila menghadapi kesukaran, berbeza wanita biasanya cukup risau dalam keadaan demikian. Dan usah risau sangat kalau lelaki anda cuba berjauhan dari anda dalam keadaan-keadaan demikian sebab semula jadinya lelaki terasa selesa berjauhan dengan keluarga. Ini tentu berbeza sekali dengan anda, yang suka dan berasa tenang bersama keluarga?

Mengapa lelaki begitu? Itulah bukti kekuasaan ALLAH. DIA menjadikan perbezaan yang ketara antara lelaki dengan wanita, agar apabila disatukan, terjalinlah satu bentuk kekuatan lantaran saling sempurna-menyempurn akan lengkap-melengkapi. Semua kekurangan isteri akan dipenuhi oleh suami dan semua kekurangan suami akan dipenuhi pula oleh isteri.

Lihat perbezaan sebagai sebab untuk sempurna menyempurnakan bukan jurang kedegilan untuk tidak mahu memahami.

Lelaki itu cara fikirnya makro, iaitu dia melihat secara keseluruhan, sedangkan anda para wanita mempunyai penilaian bersifat mikro iaitu melihat sesuatu secara terperinci. Maka itu, usah hairan, terkadang suami selamba dengan masalah yang anda rasakan cukup berat. Anda telah kering air mata sedangkan dia masih belum menitis walau sebutir pun air mata.

Jika berlaku pertengkaran selalunya dia akan melawan habis-habisan dan anda pula mengalah dan pura-pura setuju demi perhubungan. Usah terasa teruk sangat dengan keadaan ini, lelaki memang begitu, sentiasa mahu menang dan mahu sentiasa dilihat menang walaupun hatinya mengakui kesilapannya dan mahu berubah mengikut apa yang anda perkatakan.

Walaupun anda tahu anda benar dan anda tidak pernah berbuat salah, akhirilah semua pertengkaran dan perselisihan dengan anda yang meminta maaf. Anda mahukan dia yang meminta maaf? Usah harap. Lelaki memang berat untuk meminta maaf terutama daripada pasangannya. Ikut kajian, wanita lebih mudah meminta maaf dalam keadaan apa jua dan atas hal apa jua, maka gunakan kelebihan ini untuk lebih mudah meminta maaf walaupun tidak bersalah.

Satu lagi yang anda patut tahu tentang lelaki ialah mereka memang suka memberi arahan bagaikan ketua yang mempunyai kuasa. Usah dilawan, tapi layanlah hati sendiri dengan berleter hingga anda sendiri berasa puas. Tapi awas, jangan sampai berleter di hadapannya, itu boleh memburukkan keadaan.

Kata orang, wanita sinonim dengan leteran. Kalau tak pandai berleter bukan wanita namanya. Ya, teruskan saja berleter, hamburkan semua yang menekan kepala. Cuma mohon berleter di dalam bilik yang tertutup, sebab kucing pun pening dengan leteran anda.
Lelaki memang rimas dengan leteran dan cepat naik darah apabila asyik dileteri. Lihatlah betapa berbezanya anda dengan suami. Tidakkah anda setuju jika saya katakan, adalah amat beruntung jika anda tahu lebih banyak tentang lelaki?

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik,adalah: -

1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran
3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada
5) Lelaki yang baik sangka
6) Lelaki yang tak pernah putus asa

Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad saw adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada Kekuatan perasaan. Perempuan yang gagah,adalah: -

1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.

Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah ra adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

-