kipil

"....Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu...sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan...senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan....segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman..."

Selamat Datang

Random Post

Kata Bijak Pandai

Tanda cerdik seseorang adalah pada ucapannya........

Tanda berani seseorang adalah pada tindakannya........


Tanda bijak seseorang adalah pada keterampilannya........


Tanda mulia seseorang adalah pada keperibadiannya......


-Prof. Dr. Hamka

Label


Saja

Malaysian Super League 2017

Carian

Google
 

Oleh Roslah Othman

BERSENAM di bulan puasa? Oh, tidak! Mungkin itulah yang keluar daripada mulut sesetengah individu yang berpendapat mereka perlu mengurangkan atau menghentikan sebarang aktiviti fizikal termasuk bersenam buat seketika kerana bimbang kepenatan, lapar dan dahaga di bulan Ramadan ini. Bagaimanapun, Pengurus Kecergasan Fitness First, Simran Latiff, menolak tanggapan tersebut sambil menegaskan senaman masih perlu diteruskan walaupun ketika berpuasa bagi meningkatkan kadar metabolisme, selain mengekalkan tahap kecergasan agar tidak menurun dan memudahkan seseorang itu menjalani latihan fizikal seterusnya.


Katanya, bulan puasa tidak harus dijadikan alasan untuk seseorang itu menghadkan aktiviti mereka termasuk melakukan senaman. Jika tidak melakukan senaman, otot menjadi lemah dan badan mudah berasa letih. Ini kerana kalori masih perlu dibakar biarpun pada bulan puasa,’’ ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini. Simran berkata, sekiranya seseorang itu tahu kebaikan meneruskan senaman pada bulan puasa yang mampu memaksimumkan pembakaran kalori terutama yang sumbernya datang daripada lemak, pasti mereka mahu melakukannya apatah lagi jika telah terdapat keinginan untuk mendapatkan bentuk badan sempurna. Menerangkan lebih lanjut mengenai bagaimana senaman di bulan puasa, katanya, secara umumnya pengambilan kalori pada bulan puasa akan berkurangan kerana pembakaran lemak berlaku secara maksimum.


Pada hari biasa, ketika kita bersenam badan memerlukan kalori untuk dijadikan tenaga dan pada 20 minit pertama, tenaga itu datang daripada kalori karbohidrat terlebih dahulu. Selepas 20 minit pertama, barulah badan menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga.” Disebabkan berpuasa, jelasnya, kalori karbohidrat dalam badan secara tidak langsung akan berkurangan dan secara semula jadi badan terus menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga tanpa memerlukan 20 minit pertama. Dari situ, ia dapat mengurangkan peratusan lemak dalam badan seseorang. Menerangkan cara dan bagaimana aktiviti senaman boleh dilakukan, kata Simran, sepanjang bulan puasa senaman boleh dilakukan dua atau tiga kali seminggu dengan sekurang- kurangnya 30 minit sekali senaman. Ia agak berbeza di bulan biasa iaitu perlu dilakukan lebih kerap dan memerlukan antara 30 minit hingga satu jam setiap senaman.Lebih penting kata Simran, dalam tempoh 30 minit itu individu boleh melakukan tiga senaman berperingkat-peringkat seperti senaman memanaskan badan, senaman kardiovaskular seperti berbasikal dan berjalan kaki.


Bagi membentuk kardiovaskular (berjalan, joging atau berbasikal), penggunaan tenaga pada tahap maksimum perlu diselaraskan mengikut tahap latihan yang sesuai. Bagi latihan pembentukan otot, seseorang itu dinasihatkan agar melakukan senaman pada otot besar sahaja. Antaranya, bahagian dada, belakang, bahagian depan paha dan belakang paha. Bagi setiap otot, latihan boleh dilakukan sebanyak satu atau dua set dan setiap satu set sebanyak 15 hingga 20 pengulangan. Bilangan yang kerap membolehkan kita mengurangkan lemak dan pada masa sama, membentuk otot. Senaman katanya, boleh dilakukan 30 minit atau satu jam sebelum waktu berbuka atau selepas berbuka sebaik proses penghadaman selesai.


Selain senaman memanaskan badan, individu juga boleh menggunakan threadmill atau kayuhan basikal yang boleh dilakukan selama kira-kira 10 hingga 15 minit. Bagi mereka yang memilih melakukan senaman selepas berbuka, kata Simran pastikan makanan yang dimakan semasa berbuka telah benar-benar hadam. Ambil masa sekurang-kurang setengah hingga satu jam selepas makan. Cuba elakkan berbuka dengan mengambil makanan berat, sebagai contoh nasi. Sebaiknya, individu dinasihatkan agar hanya mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit seperti sebiji kurma dan segelas minuman,’’ ujarnya lagi, Simran menambah, melakukan senaman kardio selama kira-kira 30 minit baik untuk jantung. Ini boleh diikuti dengan latihan mengangkat bebanan, latih tubi dan regangan.

Sumber : Mingguan Malaysia (14 September 2008) Oleh Roslah Othman

Solat mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam," katanya.

Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari."

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12.

Program yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu.

Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan.

Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

"Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita hendak tahu ramalan.

"Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.

"Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini," katanya.

Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya.

Beliau berkata, Allah sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah.

Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah mereka.

"Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak," katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib.

Contohnya, isteri yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di langit.

Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.

Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.

"Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.

"Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

"Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan," katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan.

-